RISIKO SALAH GUNA UBAT TAHAN SAKIT

 

 

Penggunaan ubat tahan sakit bukanlah merupakan suatu amalan yang asing dalam kalangan masyarakat Malaysia. Lebih-lebih lagi, ubat tahan sakit mudah didapati dalam pasaran dan sering diberikan kepada pesakit apabila mendapatkan rawatan di klinik. Namun, salah guna ubat tahan sakit boleh membawa kepada kemudaratan dan berbahaya kepada kesihatan terutamanya dari segi kesan sampingan ubat tersebut.

Apakah itu kesakitan?
Kesakitan secara amnya adalah satu tanda atau gejala yang dialami oleh pesakit. Ia bertindak sebagai suatu amaran untuk memberitahu bahawa terdapat sesuatu yang tidak normal berlaku pada tubuh badan. Contohnya, apabila kita tersentuh cerek yang panas, sekiranya kita tidak mempunyai rasa sakit yang bertindak sebagai amaran untuk menarik balik tangan supaya tidak melecur, sudah tentu kita akan mengalami pelbagai musibah apabila berhadapan dengan situasi-situasi yang berbahaya kepada kesihatan kita. Maka, rasa sakit adalah tanda yang penting dalam kehidupan seharian kita.

Kesakitan boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu kesakitan akut atau kesakitan kronik. Perbezaan antara kedua jenis sakit ini bergantung kepada tempoh sakit itu dialami. Kesakitan akut adalah kesakitan yang datang secara tiba-tiba dalam tempoh yang sekejap dan punca sakit adalah jelas. Contohnya seperti luka, lecur, jatuh ataupun patah. Apabila luka-luka ini sembuh, maka rasa sakit akan hilang. 

Kesakitan kronik pula adalah sakit yang memakan masa yang lama dan selalunya lebih dari 3 bulan. Sakit ini sering tidak diketahui puncanya dan rasa sakit tersebut agak berlainan dengan rasa sakit akut. Contohnya, sakit belakang, sakit lutut, migraine, ataupun sakit yang disebabkan penyakit-penyakit kronik. Kesakitan kronik ini juga sering dikaitkan dengan sakit saraf berbanding sakit pada bahagian tisu atau otot. 

Jenis-jenis ubat tahan sakit.
Secara amnya, terdapat dua kumpulan besar bagi klasifikasi ubat tahan sakit. Pertama, ubat tahan sakit jenis narkotik, dan kedua, ubat tahan sakit jenis bukan narkotik. Ubat tahan sakit jenis narkotik yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah ubat tahan sakit yang dikawal ketat di bawah Akta Racun 1952; (Senarai racun jadual ketiga : Bahan-bahan Psikotropik) dan ubat ini memerlukan preskripsi daripada doktor untuk memperolehinya. Contoh ubat tahan sakit jenis narkotik adalah seperti, Morphine, Oxycodone, Pethidine dan Fentanyl. 

Ubat narkotik ini dikawal ketat kerana ia boleh disalah guna. Ia boleh menghasilkan kesan keterujaan atau ‘high’ dan ini boleh menyebabkan ketagihan. Namun, ubat tahan sakit jenis narkotik ini adalah ubat tahan sakit paling berkesan terutamanya untuk merawat sakit yang amat sangat. Ubat tahan sakit jenis narkotik selalu digunakan untuk merawat sakit selepas pembedahan atau sakit disebabkan oleh kanser.

Ubat tahan sakit jenis bukan narkotik atau dikenali juga sebagai ‘simple analgesics’ pula selalu digunakan untuk merawat sakit-sakit ringan atau sederhana. Oleh itu ubat tahan sakit jenis ini boleh didapati di premis-premis farmasi komuniti tanpa memerlukan preskripsi. 

Bawah kumpulan ubat tahan sakit bukan narkotik ini terdapat beberapa jenis ubat. Antaranya yang popular dalam kalangan masyarakat adalah ubat Paracetamol. Ubat Paracetamol ini istimewa kerana ia berkesan untuk mengurangkan sakit-sakit ringan dan sederhana dan juga mengurangkan gejala demam. Di samping itu, ia juga kurang kesan samping jika diambil mengikut dos yang betul dan antara ubat tahan sakit yang paling selamat serta boleh diberikan kepada wanita mengandung ataupun kanak-kanak.

Seterusnya adalah ubat tahan sakit di bawah kumpulan ubat Anti Radang Jenis Bukan Steroid atau dikenali juga sebagai ‘Non Steroidal Anti-Inflammatory Drugs’ (NSAIDs). Terdapat pelbagai jenis ubat tahan sakit di bawah kumpulan ini namun mempunyai cara tindak yang sama iaitu mengurangkan sakit, bengkak atau radang dan boleh mengurangkan gejala demam. Contoh-contoh ubat di bawah kumpulan ini adalah seperti Mefenamic Asid, Ibuprofen, Naproxen dan Indometacin. Kesan sampingan, ubat ini lebih berbahaya dari ubat Paracetamol kerana ia boleh menyebabkan iritasi atau keradangan perut. Jika diambil berterusan, ia boleh menyebabkan ulser pada perut dan kerosakan pada buah pinggang. 

Disebabkan kesan sampingan ini, terdapat ubat baru yang dihasilkan di bawah kumpulan NSAIDs namun  mempunyai kesan iritasi atau keradangan perut yang berkurangan. Ubat baru ini adalah seperti Celecoxib atau Etoricoxib. Walau bagaimanapun ubat ini tetap boleh menyebabkan kerosakan kepada buah pinggang jika diambil dalam jangka masa panjang.

Selain dari 2 kelompok besar ini, terdapat ubat khas untuk merawat sakit yang melibatkan saraf. Selalunya sakit yang melibatkan saraf ini mempunyai rasa sakit yang berlainan daripada rasa sakit yang disebabkan oleh luka atau sakit yang melibatkan otot atau tisu. Rasa sakit yang melibatkan saraf lebih kepada rasa seperti terbakar, kebas ataupun rasa seperti kejutan elektrik. Maka, rasa sakit seperti memerlukan ubat yang istimewa kerana ubat tahan sakit yang biasa tidak mampu mengurangkan rasa sakit yang melibatkan saraf. 

Kesilapan dalam penggunaan ubat tahan sakit 
Terdapat beberapa kesilapan dalam penggunaan ubat tahan sakit yang dapat dikenalpasti. Antaranya adalah, kebanyakan pesakit gemar mengambil dos yang berlebihan daripada yang disyorkan sama ada mengambil lebih jumlah biji ubat ataupun mengambil lebih kerap daripada yang sepatutnya. Amalan seperti ini biasa dilakukan kerana pesakit inginkan kelegaan daripada rasa sakit. Jika rasa sakit tidak dapat dikurangkan dengan dos yang pertama, maka mereka akan mengambil dos yang berikutnya walaupun belum sampai waktu pengambilannya. 

Selain daripada itu, pesakit juga gemar mengambil ubat tahan sakit tanpa mendapatkan diagnosis atau punca kesakitan terlebih dahulu. Oleh itu, mereka mungkin akan mengambil jenis ubat tahan sakit yang tidak sesuai dengan sakit yang dialami. Sekiranya pesakit mengambil ubat tahan sakit yang tidak sesuai, sebagai contoh mengambil NSAIDs untuk merawat sakit kronik yang melibatkan saraf, maka sudah tentu gejala sakit ini tidak dapat dirawat kerana ubat NSAIDs tidak sesuai digunakan untuk sakit saraf. Akhirnya pesakit hanya akan terdedah kepada kesan sampingan ubat yang diambil sahaja.

Seterusnya, pesakit mungkin mengambil pelbagai jenis ubat tahan sakit daripada kumpulan ubat yang sama. Situasi ini berlaku kerana pesakit keliru dengan nama ubat. Mereka beranggapan nama ubat berbeza maka ubatnya juga tidak sama. Namun hakikatnya ubat tersebut mungkin daripada kumpulan yang sama. Pengambilan ubat daripada kumpulan yang sama secara serentak tidak membuatkan rasa sakit makin berkurangan, malah ia hanya akan menambahkan lagi kesan sampingan ubat tersebut.

Dalam beberapa situasi yang lain ramai pesakit yang tidak sedar bahawa sesetengah ubat tidak boleh diambil sekiranya mempunyai masalah kesihatan yang lain. Sebagai contoh, pesakit jantung tidak boleh mengambil ubat tahan sakit jenis NSAIDs kerana ia akan meningkatkan lagi risiko serangan jantung. Pesakit yang mengambil ubat Warfarin (ubat cair darah) juga tidak boleh mengambil ubat tahan sakit jenis NSAIDs kerana ia boleh meningkatkan risiko pendarahan. Selain daripada itu, pesakit juga perlu tahu status alahan terhadap jenis ubat yang diambil kerana dikhuatiri sesetengah ubat tahan sakit boleh memberi kesan alahan kepada penggunanya.

Kesimpulan
Kesilapan dalam penggunaan ubat tahan sakit boleh dielakkan. Pesakit perlulah mendapatkan diagnosis sebenar sesuatu penyakit terlebih dahulu agar punca kesakitan dan jenis kesakitan dapat dikenalpasti. Jika punca dan jenis kesakitan dapat diketahui, maka keadaan ini boleh dirawat dengan lebih berkesan dan ubat tahan sakit yang sesuai boleh digunakan. 

Selain daripada itu, pesakit perlu mengambil tahu berkaitan jenis ubat tahan sakit yang diambil dan dos maksima ubat tersebut. Pesakit juga perlu ambil tahu berkaitan kesan sampingan ubat tahan sakit yang diambil dan risiko penggunaannya dalam jangka masa panjang. Pastikan ubat tahan sakit yang diambil adalah sesuai dengan masalah kesihatan diri masing-masing. 

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722.

Disediakan oleh:
Munira Bt Izat
Pegawai Farmasi
Hospital Kuala Lumpur

 

 

 

There is 0 record that matched your search criteria

Date Title